Loading
Showing posts with label Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi. Show all posts

Wednesday, March 16, 2011

Rehda Wujudkan Situasi panik?

Oleh Sarah Nadlin Rohim
sarah.rohim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Mac - Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda) didakwa cuba mewujudkan situasi panik di kalangan pembeli dengan kenyataan kenaikan harga rumah pada separuh pertama tahun ini.

Kenyataan itu seolah-olah memberi tekanan kepada para pembeli supaya mendapatkan rumah sekarang atau terpaksa menanggung harga kediaman yang tinggi pada masa depan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shahrom Md. Ariffin yang menyelar kenyataan Rehda itu menyifatkan kenyaaan tersebut sebagai jalan mudah untuk membantu pemaju mendapatkan keuntungan pada masa yang singkat.

Malah, beliau mempersoalkan mengapa kenyataan itu tiba-tiba dikeluarkan sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kemudahan pinjaman 100 peratus bagi pemilikan rumah, baru-baru ini.

''Tahukah Rehda kenyataan mereka itu memberi kejutan kepada pasaran, sedangkan kenaikan bahan-bahan mentah seperti minyak mentah masih lagi di peringkat awal dan ia masih belum pasti akan melonjak ke paras tertinggi dalam masa terdekat ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Rehda yang mendakwa harga rumah yang bakal dilancarkan pada tahun ini dijangka naik dua peratus hingga 50 peratus, atau secara puratanya 13 peratus.

Kenaikan itu diunjurkan daripada kajian oleh Rehda pada Disember lalu yang melibatkan 135 daripada 972 ahlinya.

Kajian bagi separuh kedua 2010 mendapati harga bahan binaan dan petrol semakin meningkat mendorong kepada kenaikan harga rumah yang dilancarkan pada Januari hingga Jun 2011.

Selain kenaikan harga barangan mentah, persatuan itu dikatakan berdepan dengan masalah kekurangan bank tanah di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Tegas Shahrom, prestasi jualan pasaran rumah di Malaysia sekarang bukan disebabkan permintaan yang tinggi tetapi didorong oleh pembiayaan mudah daripada sektor kewangan serta skim-skim pinjaman perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

''Jadi, janganlah disebabkan faktor-faktor ini para pemaju mengambil kesempatan daripada keadaan semasa,'' jelasnya.

Berikutan itu, Shahrom mencadangkan supaya kerajaan komited untuk melaksanakan konsep bina dan jual untuk mengekang tindakan 'besar kepala' di kalangan pemaju perumahan.

Idea yang dikemukakan oleh kerajaan itu wajar dipraktikkan kerana pemaju perumahan lebih mengejar keuntungan berbanding kualiti rumah yang disiapkan.

''Sekurang-kurangnya dengan cara ini para pemaju tahu bagaimana untuk memastikan kualiti produknya adalah setara dengan harga yang perlu dibayar oleh para pembeli,'' ujarnya.

Sementara itu, Penasihat Korporat Sunway Group, Tan Sri Ramon Navaratnam pula meminta kerajaan dan pemaju berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Perbincangan itu perlu untuk menawarkan harga rumah yang masih mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan sederhana.

''Sekiranya peningkatan kos bahan binaan merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan, kedua-dua pihak perlu mencari pendekatan terbaik bagi menangani isu tersebut.

''Pelbagai cara dapat dilakukan untuk mereka seperti menstruktur semula kos, mengubah reka bentuk atau bahan binaan yang mampu digunakan tanpa memberi kesan kepada faktor-faktor keselamatan,'' ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Negara Turut Rasa Tempias Jika Ekonomi Jepun Terjejas

ARKIB : 12/03/2011


JITRA 11 Mac - Ekonomi negara akan turut terkena tempias sekiranya kedudukan ekonomi Jepun terjejas teruk akibat dilanda bencana gempa bumi kuat tengah hari tadi.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Jepun merupakan rakan dagang agak besar selain banyak melabur di negara ini.

"Apabila berlaku bencana sebegini besar, sedikit sebanyak ia akan menjejaskan kedudukan ekonomi negara itu dan Malaysia akan rasa tempiasnya.

"Jadi, diharap mereka dapat pulihkan keadaan secepat mungkin agar kesan terhadap ekonomi global dapat dikawal supaya terhad," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu nasib syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sana juga masih belum diketahui termasuk keadaan para pelajar Malaysia di sana.

"Walau pun gempa bumi dan tsunami perkara biasa di sana, tetapi (ukuran) 8.9 (pada skala Richter) merupakan satu angka yang besar dan saya mendoakan supaya mereka semua selamat, kita nak tahu juga apa keadaan mereka di sana," kata Mukhriz.

Muhkriz berkata, sebagai rakan dagangan yang karib, Malaysia perlu menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang diperlukan bagi membantu meringankan beban mereka selepas dilanca bencana.

"Kalau mereka perlu apa-apa bentuk bantuan kita bersedia menghulurkan bantuan misi kemanusiaan," katanya.

Akibat gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala Richter yang telah berlaku di Pantai Honshu, Jepun pada 1.46 petang hari ini, penduduk di Labuan dan Sabah juga dinasihati supaya menjauhi pesisir pantai ekoran laut bergelora dan paras air laut lebih tinggi daripada yang di jangka bermula 6 petang hingga tengah malam ini.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan hari ini berkata keadaan itu dijangka berlaku ekoran gempa kuat yang berlaku berada dalam jarak 4,434 kilometer dari timur laut Kudat, Sabah. - BERNAMA


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0312&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm&arc=hive