Loading

Sunday, January 30, 2011

Kuan Yew ketepikan agama’



LEE Kuan Yew menarik sokongan orang Melayu dengan memakai songkok ketika bertemu penduduk Melayu di Kampung Tani, Singapura pada 1965.

--------------------------------------------------------------------------------




•Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak hairan dengan kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew meminta umat Islam negara itu longgarkan pegangan agama kerana beliau memang langsung tidak menghormati agama dan sensitiviti orang lain.


•Dr. Mahathir juga melihat orang Melayu Singapura ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga jika mahu bersuara sebab bimbang menjadi mangsa.


JADUAL TUN DR. Mahathir Mohamad Jumaat lalu memang padat. Sebelum sesi wawancara bersama Mingguan Malaysia berlangsung, beliau menerima kunjungan tetamu dari luar negara. Selesai bercakap dengan NORAINI ABD. RAZAK, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL dan NORLAILE OSMAN, ada lagi kumpulan yang sedang menunggu.

‘‘Saya memang sibuk, tengok (sambil menunjuk nota-nota di atas mejanya) semua ini yang saya buat. Selepas ini ada dua pertemuan lagi,’’ katanya sebaik ditanya mengenai tugasannya pada hari berkenaan. Kelihatan bertenaga tetapi tetap bersahaja, bekas Perdana Menteri itu seperti biasa tenang melontarkan jawapan pada setiap soalan berhubung kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew baru-baru ini.

Berpengalaman luas dalam berhadapan dengan kerenah hubungan dua hala Malaysia-Singapura, Dr. Mahathir menyifatkan kenyataan Kuan Yew supaya umat Islam di negara itu melonggarkan pegangan agama yang didakwa beliau menghalang integrasi kaum sebagai:

‘‘Jika beliau mahu supaya ada integrasi kaum di Singapura, maka beliau tidak boleh membenarkan Islam menjadi penghalang kepada matlamat itu. Itulah sikap Kuan Yew. Beliau langsung tidak menghormati agama dan sensitiviti orang lain.’’

Mengenai orang Melayu Singapura yang mendabik dada menyanggah kenyataan Dr. Mahathir bahawa mereka terpinggir sebaliknya mendakwa nasib mereka jauh lebih baik di sana sehingga tidak perlu bergantung kepada bantuan dan subsidi daripada kerajaan seperti orang Melayu di Malaysia, bekas Perdana Menteri itu menjawab ringkas: ‘‘Tidak juga, sebab peluang yang sewajarnya untuk mereka (orang Melayu Singapura) tidak ada di sana.”

Dalam pertemuan kira-kira setengah jam di pejabat Perdana Global Peace Organisation (PGPO) itu Dr. Mahathir turut ditanya mengenai kenaikan harga barangan keperluan, kos hidup yang semakin tinggi serta kadar upahan pekerja yang dilihat tidak setara.


MINGGUAN: Bagaimana Tun melihat kenyataan Lee Kuan Yew supaya umat Islam di Singapura melonggarkan pegangan terhadap agama Islam?

Dr. Mahathir Mohamad: Saya tidak hairan dengan kenyataan itu sebab bagi beliau agama tidak penting. Lebih-lebih lagi agama Islam. Bagi dia seperti kata mat salleh the end justify the means, jika beliau mahu supaya ada integrasi kaum di Singapura, maka beliau tidak boleh membenarkan Islam menjadi penghalang kepada matlamat itu. Itulah sikap Kuan Yew. Beliau langsung tidak menghormati agama dan sensitiviti orang lain.

Tapi ada yang berkata kita terlalu memandang sempit pemikiran Kuan Yew itu yang kononnya mahu orang Islam di Singapura progresif?

Dr. Mahathir Mohamad: Pada saya kita terlalu terbawa-bawa dengan ajaran imam-imam tertentu sehingga kita berpecah-belah. Islam itu sendiri sudah cukup progresif. Yang menjadi masalah ialah tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh manusia biasa walaupun mereka terdiri daripada ulama yang cukup mendalam pengetahuan mengenai Islam. Dalam Islam disebutkan tidak boleh berbunuh sesama Islam, tetapi ketika ini pun terdapat orang Islam yang membunuh orang Islam lain. Banyak tafsiran yang kita terima juga bercanggah antara satu sama lain. Bercanggah sehinggakan orang Islam itu bermusuh dengan orang Islam sendiri. Sebenarnya itu bukan datang daripada ajaran Islam. Sekiranya kita merujuk kepada ajaran Islam dan hadis-hadis sahih, tidak ada fahaman sunni, syiah atau wahabi. Ini adalah hasil daripada tafsiran manusia yang bukannya Nabi. Mereka adalah orang biasa walaupun mungkin mempunyai latarbelakang dan pendidikan yang baik. Sebab itu tafsiran mereka telah memecah-belahkan umat Islam. Kerana itu kita harus tentukan supaya kita kembali kepada ajaran Islam yang asal, benar dan berasaskan kepada apa yang terkandung di dalam al-Quran dan hadis yang sahih. Tapi itu bukan bermakna kita melonggarkan Islam. Sebenarnya agama Islam itu sempurna untuk mana-mana zaman sekali pun. Apabila orang Islam itu dilihat lemah dan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang dipersoalkan, itu bukan kerana agama Islam. Tetapi kerana pendapat sesetengah orang yang ada kepentingan. Umpamanya dengan menjadi pengebom berani mati dan membunuh orang lain yang tidak berdosa. Itu tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam tidak pernah membenarkan kita meletupkan diri dalam keadaan-keadaan tertentu. Tidak ada dalam al-Quran perkara seperti itu. Kita kena jelas dengan perkara-perkara seperti ini. Tapi jangan dalam soal halal dan haram juga patut kita longgarkan. Misalnya tidak mengapa kalau mabuk sedikit atau makan makanan haram sedikit.

Dulu beliau (Kuan Yew) marah apabila Osman Wok duduk semeja dengan dia tetapi diberi makanan halal. Dia tanya mengapa Osman Wok tidak boleh makan makanan yang dia makan sebab makanan itu tidak ada babi. Betul tidak ada babi, tapi kita tidak tahu macam mana dia masak dan jika ada daging di dalamnya sama ada disembelih atau tidak. Sebab itu Osman Wok pilih makanan halal sebab dalam Islam tidak boleh kata tak apalah sikit-sikit.

Dalam Islam tidak boleh begitu. Memang kalau dalam keadaan terdesak itu dibenarkan tapi kita bukan berada dalam keadaan terdesak. Makan malam bukan terdesak.

Islam itu sendiri agama yang progresif?

Dr. Mahathir Mohamad: Islam sudah cukup progresif. Apabila ada pertentangan pendapat kita berbalik kepada ajaran Islam sebenar. Di dalam al-Quran disebut Islam mesti bersaudara, adakah dengan masuk PAP kita tidak boleh bersaudara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Wednesday, January 26, 2011

Kuan Yew takut negara jiran

Oleh Syukri Shaari
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Dakwaan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bahawa terdapat usaha antara Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan di negara itu adalah tidak berasas.

Malah dakwaannya mengenai kewujudan kempen dari luar untuk menjatuhkan negara tersebut kerana dianggap sebagai penceroboh menggambarkan ketakutan beliau kepada negara-negara jiran yang semakin membangun.

Ketua Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, dakwaan demi dakwaan yang dilakukan oleh Kuan Yew itu adalah disebabkan negara tersebut sentiasa dibelenggu oleh mentaliti terkepung.

Katanya, Kuan Yew bijak memainkan isu ancaman dari negara luar untuk mencipta satu situasi di mana rakyat berasa terancam dan bersatu padu menyokong kerajaan Singapura di dalam apa juga keadaan sekali gus mengukuhkan kedudukannya di dalam senario politik republik itu.

"Kuan Yew bijak memainkan isu ancaman dari luar walaupun sebenarnya negara itu yang menjadi ancaman kepada negara-negara jiran kerana sering tidak sensitif dengan pelbagai isu membabitkan negara di sekelilingnya.

"Kuan Yew juga mempunyai pandangan skeptikal terhadap jiran seperti Malaysia dan Indonesia serta sering memandang rendah terhadap negara-negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Kuan Yew menerusi buku Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going mengenai wujudnya kempen dari luar untuk menjatuhkan negara itu kerana dianggap sebagai penceroboh selain menurut beliau terdapat usaha antara Malaysia dan Indonesia yang mahu menjejaskan perniagaan pelabuhan negara berkenaan.

Menurut Mohamed Mustafa, dakwaan yang dibuat itu juga membuktikan bahawa Kuan Yew sebenarnya takut dengan negara jiran terutamanya Malaysia yang semakin pesat membangun.

Katanya, pembangunan Malaysia menjadikan persaingan terutamanya dalam bidang membabitkan perdagangan semakin sengit dan Singapura amat bimbang mengenainya.

"Bagaimanapun Kuan Yew tidak boleh melihatnya sebagai ancaman kerana setiap negara jiran juga berhak untuk maju dan membangun seperti Singapura," jelasnya.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling pula berkata, Kuan Yew sememangnya takut dengan Malaysia dan Indonesia kerana beliau pernah membuat kenyataan bimbang dengan kebangkitan rumpun Melayu di rantau Asia Tenggara.

Katanya, kenyataan tersebut keluar daripada mulut Kuan Yew sendiri pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

"Kuan Yew sebenarnya bimbang dengan pengembangan kuasa Melayu Nusantara seperti yang pernah dinyatakannya sebelum ini.

"Selain itu, kebangkitan Malaysia dalam sektor perdagangan dan pelaburan telah menyebabkan Kuan Yew semakin bimbang dan menjadi faktor utama beliau menjadikan Malaysia sebagai ancaman kepada Singapura," katanya.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, dakwaan-dakwaan Kuan Yew tidak perlu diberikan perhatian terlalu serius kerana beliau telah menggunakan strategi yang sama sewaktu menjadi Perdana Menteri Singapura.

"Dakwaan-dakwaan Kuan Yew tidak berasas. Kita boleh memberi perhatian terhadap dakwaan tersebut tetapi jangan terlalu serius.

"Ini kerana ia merupakan strategi yang digunakan untuk mendapatkan sokongan rakyat dan mengukuhkan penguasaan politiknya sama seperti semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu," katanya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Kenyataan Kuan Yew hina Islam - Mufti Perak

Kenyataan Kuan Yew hina Islam - Mufti Perak
KUALA LUMPUR 26 Jan. - Tindakan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menggesa umat Islam negara itu supaya tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam kerana ia boleh menghalang integrasi dan pembangunan merupakan penghinaan kepada agama itu sendiri.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, Kuan Yew tidak layak untuk membuat kenyataan tersebut kerana beliau sendiri tidak memahami ajaran Islam serta intipati yang terkandung di dalam agama tersebut.

Tegasnya, Kuan Yew perlu melihat kepada sejarah bahawa Islam merupakan agama yang menyokong pembangunan kerana terdapat bukti-bukti bahawa banyak kejayaan dalam pelbagai bidang seperti sains, perubatan dan kejuruteraan adalah berasal daripada teori yang diterbitkan oleh golongan cendekiawan Islam.

Tambahnya, Kuan Yew sepatutnya tahu mengenai perkara tersebut tetapi beliau telah membuktikan kejahilannya dengan mengeluarkan kenyataan yang telah menyinggung perasaan umat Islam bukan sahaja di Singapura malah di seluruh dunia.

"Banyak kejayaan di Barat adalah lanjutan kepada kajian serta penerokaan yang dimulakan oleh cendekiawan Islam. Bagaimana pula Kuan Yew boleh berkata ajaran Islam menghalang pembangunan sesebuah negara?

"Gesaan tersebut merupakan penghinaan kerana Islam sebenarnya menggalakkan proses pembangunan menerusi landasan yang betul. Tidak timbul langsung isu bahawa Islam menghalang integrasi atau pembangunan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Kuan Yew supaya umat Islam di Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam kerana mendakwa ajaran tersebut menghalang pembangunan serta integrasi di negara berkenaan di dalam buku Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.

Menurut Harussani, kenyataan Kuan Yew itu tidak lebih daripada permainan politik beliau.

Katanya, kenyataan itu juga menunjukkan bahawa Kuan Yew sebenarnya takut kepada masyarakat Islam sama ada di negaranya sendiri mahupun di negara luar.

"Beliau takut dengan Islam. Bukan sahaja Kuan Yew, malah pemimpin-pemimpin negara Barat juga takut kepada Islam kerana semakin mereka memerangi Islam, makin terserlah kebenaran ajaran Islam," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Razak Idris pula berkata, gesaan yang dilakukan oleh Kuan Yew itu menunjukkan bahawa beliau mengalami kekeliruan fikiran dan kefahaman mengenai Islam.

Katanya, Kuan Yew telah melakukan kesilapan besar dan menunjukkan kejahilannya kepada dunia dengan mengeluarkan kenyataan tersebut.

"Jadi saya berharap Kuan Yew serta kerajaan Singapura supaya mendekati masyarakat Islam untuk mengenal dengan lebih dekat lagi mengenai ajaran Islam.

"Islam tidak pernah menghalang pembangunan sebaliknya menggalakkan penganutnya membangunkan diri serta negara mereka," katanya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Tuesday, January 25, 2011

Labis: Konfrontasi Ganyang Malaysia, Ubah Malaysia

KETENANGAN di pekan Labis sedikit terganggu seminggu dua ini. Ini adalah kerana satu proses demokrasi sedang berlangsung di situ. Hujung minggu ini akan menentukan siapa yang bakal dinobatkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru bagi DUN Tenang dalam kawasan itu.

Kelmarin saya berkesempatan mengunjungi pekan itu, pertama kali dalam hidup saya. Namun sebelum ke pekan itu, saya telahpun mengetahui banyak mengenai Tenang dan Labis. Tidak banyak orang yang sedar bahawa Labis mempunyai banyak sejarah yang tersendiri.

Pada 2 September 1964 - kira-kira 47 tahun lalu, segerombolan gerila payung terjun Indonesia dari batalion para dan kor komando KKO (disebut: ka-ka-o) diterjunkan di sekitar kawasan Kampung Tenang dalam kawasan Labis. Ia adalah sebahagian daripada misi untuk mengGanyang Malaysia. Peristiwa Konfrontasi Malaysia-Indonesia (1962-1966) tercetus kerana keengganan Presiden Sukarno mengakui kewujudan negara berdaulat Malaysia.

Di hadapan tentera-tenteranya, Sukarno telah mengisytiharkan gerakan Ganyang Malaysia melalui pidato beliau yang amat bersejarah:

"Kalau kita lapar itu biasa

Kalau kita malu itu juga biasa

Namun kalau kita lapar atau malu itu karena Malaysia, kurang ajar!

Kerahkan pasukan ke Kalimantan hajar cecunguk Malayan itu!

Pukul dan sikat jangan sampai tanah dan udara kita diinjak-injak oleh Malaysia keparat itu.

Doakan aku, aku kan berangkat ke medan juang sebagai patriot Bangsa, sebagai martir Bangsa dan sebagai peluru Bangsa yang tak mau diinjak-injak harga dirinya.

Serukan-serukan ke seluruh pelosok negeri bahwa kita akan bersatu untuk melawan kehinaan ini kita akan membalas perlakuan ini dan kita tunjukkan bahwa kita masih memiliki Gigi yang kuat dan kita juga masih memiliki martabat.

Yoo...ayoo... kita... Ganjang...

Ganjang... Malaysia

Ganjang... Malaysia

Bulatkan tekad

Semangat kita badja

Peluru kita banjak

Njawa kita banjak

Bila perlu satoe-satoe!

Soekarno.

Namun di sebalik itu, tentera kita, Rejimen Askar Melayu Diraja telahpun bersiap sedia. Ramai gerila Indonesia yang ditangkap, menyerah diri. Ada yang kebuluran. Satu kisah benar menyebut, ada antara tentera Indonesia yang menyerah diri kepada orang kampung akhirnya ditemukan dalam satu peristiwa yang menyayat hati. Tentera Indonesia itu dan orang kampung itu mempunyai pertalian darah dan hubungan persaudaraan dari tanah Jawa. Ia berakhir dengan insiden berpeluk-pelukan dan tangisan.

Seorang penulis skrip berbangsa Indonesia bernama Alfian Sikumbang, yang kini menetap di Malaysia sedang menyiapkan skrip berhubung kisah benar ini untuk dijadikan dokumentari. Beliau mahu menggambarkan itulah ciri-ciri serumpun yang tidak boleh dipisahkan antara kedua-dua negara. Kedua-dua negara yang mempunyai hubungan darah yang tidak putus walaupun dicincang dan dipisahkan.

Alfian dan jutaan rakyat Indonesia kini amat bangga berada di tanah Malaysia ini. Ia adalah tanah bertuah yang memberikan segala macam rezeki untuk anak cucu dan saudara mara mereka di seberang sana, serta seantero negara lain sekali pun. Malaysia, yang dulu dibenci oleh Sukarno, kini ialah tanah yang amat aman, makmur dan bertuah.

Namun, dalam realiti di Labis dan Tenang pada Isnin lalu. Konfrontasi antara dua parti yang berlainan haluan sedang berlangsung. Calon Pas, Normala Sudirman (Cikgu Mala) di atas pentas DAP dengan bangga dan bersemangatnya berucap dan menjerit slogan Jom Ubah, Selamatkan Malaysia!!!

Saya yang menyaksikan ceramah itu terkejut. Selamatkan Malaysia? Mengapa Malaysia yang aman, damai, makmur ini mahu diselamatkan? Apakah itu datangnya suara Pas atau daripada suara nurani DAP? DAP tentunya mahu Malaysia diserahkan kepadanya, bukan?

Pas yang kini dikuasai oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjaja slogan itu ke pelosok cerok Tenang. Kereta-kereta yang membawa corong pembesar suara turut melaungkan slogan itu Jom Ubah, Selamatkan Malaysia!

''Labis masih ketinggalan, mari kita tingkatkan ekonomi kawasan ini dan negara ini. Kita ubah kerajaan yang ada, undilah saya dan sokonglah kami...," katanya yang mendapat tepukan daripada masyarakat Cina di pekan itu ketika menyebut beberapa patah perkataan Mandarin. Cikgu Mala yang saya kira tidak tahu apa yang disebutnya itu terus melaungkan Selamatkan Malaysia beberapa kali.

Sementara itu di satu penjuru lain bandar itu, calon Barisan Nasional (BN) - bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd. Azahar Ibrahim atau dikenali sebagai Tok Ai di kalangan penduduk dan rakan-rakannya di bandar itu turut meraih undi di kawasan Cina. Sambil menyanyikan lagu Tahun Baru Cina - Gong Xi Gong Xi, beliau mendapat tepukan ramai.

''Saya mempunyai ramai kawan-kawan Cina yang bersekolah dengan saya... saya mengenali mereka secara peribadi," katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan pekan Cina Labis.

Slogan BN ialah mengenai kebajikan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Konfrontasi antara kedua-dua calon itu akan terus memuncak sehingga beberapa hari menjelang hari pengundian Ahad, 30 Januari ini. Jika dilihat atas kertas BN akan terus mempertahankan kerusi DUN itu.

Namun, yang menjadi persoalan sekarang ialah berapa banyak majoriti yang akan diperoleh? Ada yang mahu BN mencatatkan majoriti cemerlang melebihi 5,000 undi dan ada yang sekadar mahu berpuas hati di angka 3,000 sahaja. Pada Pilihan Raya Umum 2004, BN memperoleh majoriti 5,517 undi, namun ia jatuh kepada 2,492 undi pada 2008.

Sebaliknya, kempen pakatan pembangkang dilihat turut dilakukan secara strategik. Di satu kawasan, markas Pas diletakkan di atas sebuah kedai hiburan karaoke dalam pekan Cina. Bendera-bendera hijau Pas dikibarkan di celah-celah kedai Cina. Anak-anak muda DAP yang bersemangat turut digunakan untuk memeriahkan rapat-rapat umum mereka.

Pendek kata, konfrontasi antara kedua-dua pihak kini ialah untuk mendapatkan seberapa banyak pengaruh orang Cina yang boleh. Perlu disebut pengundi Cina ialah besar iaitu 39.08 peratus, manakala India 12.07 peratus dan Melayu ialah 47.7 peratus.

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang ini tentunya mempunyai signifikannya dalam petunjuk politik semasa negara. Ia berlaku di Johor, sebuah negeri yang menjadi kubu kuat UMNO dan BN.

Ayuh, kita tunggu dan lihat sama ada slogan Selamatkan Malaysia itu berjaya disekat oleh orang Labis, sebagaimana gagalnya Ganyang Malaysia, 47 tahun lalu.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Saturday, January 22, 2011

Sekolah Kebangsaan Perlu Diberi Bantuan Sewajarnya

Penulis telah pergi ke sekolah rendah kebangsaan di kawasan perumahan penulis pada sesi pagi tadi bagi menyertai dialog antara guru-guru dan ibubapa bagi meningkatkan pencapaian para pelajar di Sekolah Kabangsaan Saujana Utama Sungai Buloh. Namun begitu, bagi penulis, salah satu kekurangan yang dialami oleh sekolah berkenaan ialah dari segi aspek kekurangan bilik darjah.Masalah ini telah lama membelengui pihak pengurusan sekolah berkenaan,yang mana rata-rata pelajar terpaksa berhimpit sehingga seramai antara 40 - 45 orang sekelas.

Setiap kali berlaku pilihan raya kecil diadakan, kita seringkali dimomokkan dengan berita sekolah-sekolah yang mewakili golongan tertentu sering diberi bantuan, sedangkan bilangan pelajarnya tidaklah kritikal sebagai mana di sekolah-sekolah kebangsaan yang rata-rata majoriti ibubapa dinegara ini menghantar anak mereka bersekolah di sana tanpa mengira bangsa atau keturunan .Keadaan seperti ini seolah mengiayakan bahawa sistem pendidikan kita sering dipolitikkan untuk kepentingan politik sempit seperti mana berlaku kepada novel Interlok buat masa kini.

Untuk maju ke depan polemik seperti ini perlu dihentikan untuk masa depan negara.Bukannya tidak boleh bantuan diberikan kepada sekolah sekolah lain, tetapi jumlah yang diberikan perlu berpada mengikut keperluan dan tidak sampai melebihi apa yang ada di sekolah kebangsaan. Kehendak dan keperluan majoriti perlulah juga diutamakan kerana mereka memerlukan lebih perbelanjaan untuk pembangunan infrastruktur seperti bilik darjah dan sebagainya. Itu belum masuk lagi dari segi keperluan infrostruktur dan bahan-bahan bacaan serta pembelajaran.Ditambah pula dengan isu ibubapa yang tidak mampu membayar yuran dan keperluan pembelajaran tambahan disekolah. Saya percaya, kerajaan perlu mengorak langkah dengan memperkenalkan dasar pendidikan yang memberi ruang akses yang adil mengikut meletakkan sesuatu pada haknya(yang lemah dibantu,yang dah kuat boleh membantu atau memberi ruang pada yang lemah tanpa membuat tuntutan diberi betis hendak peha atau dengan kata lain bersifat tamak) dan bukan pukul sama rata.

Saya berpendapat Lab atau Makmal untuk mengkaji permasalahan ini lebih penting diwujudkandaripada Makmal Pengurangan Subsidi yang ada sekarang. Setiap makmal yang diwujudkan perlu dianggotai oleh pihak-pihak yang mempunyai pemikiran kreatif dan inovasi, yang mana pemikiran mereka berupaya mengimbangi aspek politik, ekonomi, sosial dalam membuat cadangan kepada pihak kerajaan. Adalah malang jika anggota -anggota makmal berkenaan hanya tahu berfikir untuk potong sana sini, seperti mana iklan Potong yang pernah popular suatu ketika dulu yang mana akhirnya ianya lambat laun semakin mencalar imej pemerintah sedia ada.

Wednesday, January 19, 2011

Bertindak sebelum terlambat

Oleh DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH



Lee Kuan Yew

--------------------------------------------------------------------------------



Kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew minggu lalu, mengenai kenapa negara sekangkang kera itu memerlukan pertahanan yang begitu kuat sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua. Kenyataan tersebut dikeluarkan ketika pegawai-pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Kuan Yew merujuk kepada Malaysia dan Indonesia sebagai ancaman utama kenapa negara itu perlu pertahanan yang kuat.

Dalam bersedia menghadapi ancaman tersebut, negara anak didik Yahudi ini membelanjakan RM35.5 bilion untuk pertahanan pada tahun lalu, tertinggi di Asia Tenggara dan mungkin juga di Asia. Berbanding negara sebesar kita, sejak lebih 23 tahun yang lalu, perbelanjaan pertahanan negara membabitkan RM180 bilion sahaja.

Purata perbelanjaan pertahanan setiap tahun hampir 2.5 peratus daripada KDNK negara antara 1987 hingga 2004. Bermaksud lebih lima tahun, belanja pertahanan Singapura bersamaan lebih 23 tahun belanja pertahanan kita. Lihatlah betapa jauhnya kita ketinggalan dalam aspek pertahanan negara.

Perbelanjaan pertahanan merupakan yang kedua terbesar dalam bajet negara sehinggalah krisis kewangan global melanda Malaysia pada 2008, menyebabkan ia diatasi oleh perkara lain dalam bajet 2009. Namun begitu, perbelanjaan pertahanan kita telah meningkat lebih lima kali ganda dari RM2.09 bilion pada 1987 kepada RM11.013 bilion pada 2010 (enam peratus belanjawan negara).

Jumlah ini masih kecil berbanding dengan negara jiran yang sebenarnya itulah ancaman kita. Apakah kita tidak takut dengan ancaman baru hari ini. Tidakkah terlepasnya Pulau Batu Putih menjadi pengajaran kepada kita?

Saya yakin, pulau tersebut masih menjadi milik kita, jika pertahanan kita mengatasi negara Singapura. Malangnya, kita terus bersangka baik dan memberikan 'khidmat percuma' seperti isu air kepada negara 'sejahat' itu. Pernahkah mereka mengenang budi?

Menurut Kuan Yew, tanpa pertahanan yang kuat, tidak akan wujud Singapura. Negara ini akan 'dimakan' oleh negara-negara jirannya, dirujuk Malaysia dan Indonesia.

Dari segi perancangan strategi dan keselamatan, saya tidak nafikan jawapan tersebut. Tetapi dari sudut lain, jawapan ini amat bongkak dan sombong. Beliau tidak sedar, tanpa pertolongan Malaysia, tidak wujud Singapura. Namun, sifat ultra kiasu telah mengatasi segalanya. Negara ini telah berjaya keluar daripada kemelut ketakutan.

Hari ini, kita pula takut kepada negara sekecil itu yang begitu bergantung air kepada kita. Itupun mereka masih menang. Kita kelihatan masih kalah, walaupun harta itu kepunyaan kita.

Singapura adalah sebuah pulau Melayu yang terletak di kepulauan Melayu. Jika ditakdirkan Tunku Abdul Rahman bertindak menangkap Kuan Yew dan mengadakan perintah berkurung sebelum berpisahnya Singapura dari Malaysia pada 1965, sudah tentu pulau tersebut hari ini milik kita.

Tetapi adakah Tunku bertindak sedemikian? Walaupun pada ketika itu, kita mampu untuk bertindak, kerana kuasa polis dan tentera masih berpihak di tangan Melayu?

Saya fikir Tunku berfikir panjang sebelum bertindak. Inilah sifat dan toleransi Islam yang perlu dihargai. Saya yakin, jika tidak ada pertimbangan ini atau jika pemimpin kita ketika itu tidak Islam, mempraktikkan sistem komunis, sudah lama Kuan Yew dihumban ke dalam penjara.

Hari ini beliau berlagak sombong dengan kenyataan yang langsung tidak mengenang budi. Apakah kita masih terus mahu berlembut ibarat menarik rambut dalam tepung? Zaman berlembut sudah berakhir. Saya tidak pasti apa pandangan Tuan Guru Nik Aziz yang begitu ghairah menyambut Kuan Yew sebelum ini.

Kita sepatutnya bertindak sezalim Kuan Yew, yang menghumban golongan yang menentangnya ke dalam penjara kerana kewujudan mereka dikatakan mengganggu ketenteraman dan perancangan Singapura. Maka tidak hairanlah orang Melayu Singapura seperti Dr. Lili Zubaidah yang cerdik tidak mendapat tempat di Singapura, hanya kerana tidak sekapal dengan Kuan Yew.

Jika Malaysia bertindak sedemikian kepada pembangkang hari ini, apakah perkara ini dapat diterima? Tetapi perkara sebegini adalah biasa di Singapura. Kenapa kumpulan hak asasi manusia ini tidak bangun menentang tindakan Kuan Yew?

Malah ramai ultra kiasu di negara ini yang begitu memuji Singapura. Hanya kerana mereka sekapal. Bayangkan jika kita bertindak seperti mana Singapura bertindak, akan hebohlah satu dunia bahawa Malaysia mengamalkan sistem regim komunis dan mengabaikan hak asasi manusia.

Kuan Yew bertindak mematikan orang yang diistilahkan 'tidak berguna' (duds) walaupun mereka dipilih oleh rakyat. Golongan ini, pada beliau tidak perlu berada dalam Parlimen dan kerajaan. Tindakan Kuan Yew langsung tidak dipertikaikan oleh ultra kiasu di Malaysia.

Kuan Yew begitu disanjung dan mendapat pujian ultra kiasu saban hari kerana dikatakan berjaya memajukan Singapura. Mereka sanggup lupakan 'kekejaman' beliau hanya kerana sekapal. Justeru, kita perlu berhati-hati dengan kelicikan golongan ini sebelum terlambat.

Terlalu bertoleransi juga tidak sepatutnya berlaku. Dengan sebab itu, dalam pemerintahan Islam, ada unsur demokrasi dan ada unsur autokrasi. Jika tindakan seseorang boleh menjahanamkan agama dan negara, maka tindakan nekad perlu dilakukan untuk menjaga kepentingan awam.

Saya fikir sudah sampai masanya negara kita mengambil pendekatan berhati-hati sebelum terlambat. Memang kita memerlukan Singapura. Johor Bahru akan bankrap tanpa Singapura.

Tetapi kita perlu fikirkan pelan jangka panjang supaya tidak terlalu bergantung kepada Singapura, walaupun tidak dinafikan pulau itu juga terlalu bergantung kepada kita. Kita mesti ingat, bahawa pulau itu mendapat sokongan Yahudi, sedangkan kita tidak.

Jika ditakdirkan kita putuskan Tambak Johor, negara kecil itu masih lagi boleh survive sebab sekutu mereka masih ramai yang akan membantu. Negara kita bagaimana?

Justeru, projek Koridor Iskandar hendaklah dirancang dengan betul supaya jangan terlalu berharap kepada Singapura. Jangan biarkan mereka membeli tanah dan harta negara kita sewenang-wenangnya. Saya amat bimbang Johor akan menjadi Singapura kedua kerana pimpinan mereka amat licik. Lihat sahaja apa yang berlaku di Pulau Pinang.

Saya masih teringat kata-kata isteri Kuan Yew, mendiang Kwa sebelum meninggal baru-baru ini. Pesannya kepada Kuan Yew supaya jangan mempercayai orang Melayu dan Malaysia. Dalam kata lain, sampai mati pun, mereka masih tidak mempercayai kita. Apakah kita masih terus mahu bersangka baik?

Masa bersangka baik dan bermain dengan mereka sudah habis. Kini adalah masa untuk kita bekerja untuk berhadapan dengan mereka. Jika mereka boleh menyediakan RM35.5 bilion untuk pertahanan negara sekecil itu, sudah tentu kita perlu berbelanja lebih daripada itu. Jika tidak, kita akan 'dimakan' satu masa nanti, percayalah.

Saya pernah membuat kajian mengenai republik itu ketika membuat program ijazah sarjana pengajian strategi dan keselamatan. Ternyata memang sukar untuk kita menyainginya. Ketua Pengarang Kumpulan akhbar ini, Datuk Aziz Ishak pasti bersetuju dengan saya sebab kami mengambil kursus yang sama.

Justeru, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, pakar strategi dan semua panglima angkatan tentera, sepatutnya memikirkan dan bertindak untuk merangka strategi, apakah langkah terbaik yang perlu dilakukan untuk berhadapan dengan Yahudi kecil ini sebelum nasi menjadi bubur?

Kita perlu ingat, pemimpin Pulau Pinang difahamkan selalu ke sana untuk mencari idea. Apakah mungkin nanti akan wujud Singapura kedua, ketiga dan sebagainya?

Bertindaklah sebelum terlambat kerana masa tidak menunggu kita. Jangan terlalu banyak berpolitik, sehingga wang habis, akhirnya bidang pertahanan terabai. Musuh sedang melihat kita. Mereka sedang menunggu peluang untuk 'masuk' pada ketika waktu yang sesuai.

Ketika itu, jika mahu berjihad sudah terlambat. Apakah mungkin senjata batu boleh berhadapan dengan jet-jet pejuang dan kereta kebal seperti yang berlaku di Palestin? Sedangkan Allah SWT mahukan kita mengambil iktibar daripada kejadian lampau yang ditunjukkan.

Keruntuhan empayar Islam Othmaniyyah sudah cukup menyayat hati kita semua. Begitu juga keadaan di Iraq, Afghanistan dan Palestin hari ini. Apakah wajar kita hanya memerhati tanpa membuat apa-apa tindakan. Ya, kita wajar membantu tetapi pada masa sama, jangan abai kepentingan kita.

Perbelanjaan yang kurang memberikan impak kepada keselamatan hendaklah dikurangkan seperti perkara yang bersifat ceremonial ,supaya kita dapat berjimat dan wang tersebut boleh disalurkan untuk pertahanan.

Jika tidak, saya bimbang, bila sampai masanya Allah SWT tarik semua nikmat yang dianugerahkan kepada kita seperti minyak dan gas. Kita akan menyesal seumur hidup. Hari ini seolah-olah kita terlalu bergantung kepada hasil minyak, sedangkan negara kita masih kaya dengan hasil lain.

Saya ingin cadangkan supaya kita ambil semua hasil keuntungan minyak ini setiap tahun untuk membangunkan pertahanan. Jika keuntungan Petronas lebih kurang RM50 bilion digunakan untuk pertahanan, saya yakin dalam jangka masa lima tahun, Malaysia muncul menjadi negara hebat di Asia dan mungkin di dunia.

Apapun, kita tidak boleh terlalu bergantung kepada minyak dan gas sebagai sumber pendapatan utama negara. Sampai masanya minyak dan gas akan habis. Apakah ketika itu negara kita akan menjadi papa kedana?

Jadi, fikirkan sumber lain untuk menjana pendapatan negara kerana sumber minyak pasti akan habis. Sementara minyak masih ada, tumpukan usaha membangunkan pertahanan negara. Sebagai persiapan awal, kurangkan berbelanja ketika pilihan raya kecil DUN Tenang. Fikirkan masa depan negara. Kita tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang begitu besar untuk pilihan raya sekecil ini.

DR. MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Pulangkan Syiling Kepada Pemilik

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Bertaubatlah Anwar - Mufti

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri