Loading

Monday, September 13, 2010

UMNO, PERKASA Dan MEMPERKASAKAN PENYATUAN MELAYU

Pada minggu raya ini, selain daripada berita kehilangan Jutawan Kosmetik, berita mesyuarat BN membuat keputusan untuk menjauhi PERKASA turut menarik perhatian. Namun begitu, hati saya musykil, kenapa mesyuarat yang dipengerusikan setiausaha agung berani membuat ketetapan demikian? Namun begitu mujur negara dikejutkan tentang berita pembunuhan kejam jutawan kosmetik dan mangsa yang lain.Jika tidak isu ini akan terus dibahaskan diarus media perdana. Penulis mengambil kesempatan melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi kehilangan magsa-mangsa.

Berbalik kepada topik BN, UMNO dan PERKASA tadi, rata-rata timbul penentangan diakar umbi UMNO dan orang Melayu atas pagar atas keputusan berkenaan. Kenyataan yang lantang datangnya dari Mantan Presiden UMNO dengan hujah bahawa UMNO memerlukan PERKASA untuk memperkuatkan sokongan orang Melayu terhadap BN dan UMNO.Sebagai orang biasa, saya juga berfikir dalam aliran yang sama. Hujah yang paling kuat ialah PERKASA cuma mempertahankan apa yang sedia ada seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara. Saya secara peribadi sendiri sebenarnya tidak berapa setuju cara politik Presiden PERKASA sebelum ini yang lompat sana sini. Namun begitu dari segi apa yang diperjuangkan melalui PERKASA buat masa ini ialah mereka cuma menyanggah apa jua tuntutan atau komen yang bakal menyingung semangat artikel 153.

Semasa balik beraya diutara baru-baru ini, saya melihat beberapa anak muda memakai baju berlogokan pertubuhan berkenaan dan banyak cawangan-cawangan NGO ini ditubuhkan disana-sini. Ini menunjukkan bahawa sentimen akar umbi orang melayu kini semakin melihat peranan NGO berkenaan mempertahankan artikel perlembagaan berkenaan walaupun baru ditubuhkan.

Peranan berkenaan ditagih selepas Pemuda, Puteri dan Putera dilihat seakan-akan tidak mahu memainkan peranan mempertahankan agar perkara berkaitan artikel berkenaan tidak dipolitikkan dan tiada bantahan dibuat bilamana UMNO sering dijadikan kambing hitam apabila berlaku masalah kepimpinan di kalangan Parti Komponen BN yang bukan Melayu.Lebih -lebih lagi apabila di pihak Melayu yang cuba bersuara mempertahankan hak berkenaan dianggap perkauman termasuk apa yang dialami oleh Mantan Perdana Menteri, Tun M sendiri yang dikecam sebelum ini.

Saya juga rasa kehairanan, dalam Masa UMNO cuba berbaik dengan PAS dan PAS menolak serta memperlecehkan UMNO, kenapa UMNO hendak menjauhi PERKASA? Sepatutnya, UMNO dan PERKASA berkerjasama untuk memperkasakan penyatuan orang Melayu di atas pagar setelah pilihan perpaduan dengan PAS menemui jalan buntu. Kepada kaum lain, tidak perlu bimbang kerana penyatuan ini akan menstabilkan politik negara, seterusnya bakal melonjakkan perkembangan ekonomi dan kemakmuran negara. Ianya akan dilihat sebaliknya jika kita berada di pihak yang mempunyai sikap tamak haloba.

Ini berlainan dengan Parti Komponen yang lain, apa jua yang mempertikaikan artikel berkenaan dianggap sebagai 1 Malaysia. Tetapi apakah mereka faham gagasan 1 Malaysia yang telah dijelaskan oleh PM bahawa tidak menjejaskan perlembagaan sedia ada?

Namun begitu, semua orang Melayu perlu bertenang kerana ketetapan berkenaan hanya dikeluarkan oleh setiausaha agung dan bukannya Presiden UMNO. Namun saya berharap, dari segi persoalan dasar UMNO, pihak kepimpinan kena tegas agar segala kenyataan hanya boleh dikeluarkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden sahaja. Seperti kata Tun Mahathir, beliau menganggap ianya bukan dasar rasmi  BN buat Masa kini kerana ianya bukan dibuat melalui Majlis Tertinggi UMNO dan Presiden UMNO.

Kepada MT UMNO, kami berharap jangan diketepikan akar umbi UMNO dan penyokong UMNO dalam hal ini.Padahnya mungkin yang dikejar tak dapat manakala yang dikendong berciciran.

Selamat Hari Raya , Maaf Zahir Batin.