Loading
Showing posts with label Bencana. Show all posts
Showing posts with label Bencana. Show all posts

Wednesday, March 16, 2011

416 Rakyat Malaysia Berjaya Dihubungi

KUALA LUMPUR 13 Mac - Setakat pukul 11 malam tadi (12 tengah malam di Jepun), Kedutaan Malaysia di Tokyo telah menghubungi 416 rakyat negara ini yang berada di wilayah paling teruk terjejas akibat gempa bumi dan tsunami di negara itu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini, berkata, kedutaan juga menghubungi rakyat Malaysia yang berada di bahagian lain negara tersebut.

"Semua mereka selamat dan tidak ada laporan membabitkan kematian. Rakyat Malaysia di kawasan paling teruk terjejas telah dipindahkan ke kawasan selamat yang ditentukan pihak berkuasa Jepun.

"Laporan menyatakan pihak berkuasa Jepun sedang mengawal keadaan dengan mengambil langkah-langkah perlu," kata kenyataan itu.

Gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter menggegarkan Jepun pada tengah hari Jumaat dan mencetuskan tsunami setinggi 10 meter yang melanda wilayah timur laut negara itu serta mengorbankan sekurang-kurangnya 1,000 orang.

Kenyataan itu berkata, Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di sana sedang memantau keadaan di negara terbabit.

Malaysia juga menawarkan bantuan menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) termasuk anjing pengesan, kata kenyataan itu.

Kerajaan Jepun telah menyatakan penghargaan di atas tawaran itu, namun sehingga kini, Kementerian Luarnya belum dapat memberi tarikh dan masa untuk Malaysia menghantar pasukan tersebut.

Kenyataan itu juga berkata, bilik operasi di Wisma Putra dan di kedutaan di sana beroperasi sepanjang masa sehingga diberitahu kelak. - BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm

Bencana Nuklear Dunia?

Utusan Online

SENDAI, Jepun 13 Mac – Pihak berkuasa Jepun berusaha mencegah satu lagi ancaman radiasi di dua buah reaktor nuklear di Fukushima hari ini, selepas sistem penyejuknya gagal berfungsi sekali gus boleh mengakibatkan bencana nuklear terburuk di dunia dalam tempoh 25 tahun.

Syarikat pengendali Tokyo Electric Power Co (TEPCO) terpaksa menggunakan air laut dan asid borik bagi menyejukkan reaktor No. 1 selepas satu letupan memusnahkan bumbung dan dinding bangunan konkrit itu semasa mereka cuba melepaskan tekanan semalam.

Struktur tangki reaktor nuklear itu bagaimanapun tidak terjejas.

Selain itu, pengendali reaktor tersebut turut membebaskan udara daripada tangki simpanan reaktor No. 3 bagi mengurangkan tekanan dan mengelak kerosakan.

“Kami belum tahu status sebenar bahan api di bahagian teras reaktor itu. Kami perlu mengenal pasti keadaan teras itu sama ada ia tertutup, rosak atau bahan api kini sedang cair,” kata pakar nuklear, Mark Hibbs daripada Pembiayaan Keamanan Antarabangsa Carnegie.

Ancaman yang dihadapi Jepun itu dibimbangi boleh mengulangi bencana nuklear di loji nuklear Chernobyl, Ukraine pada 26 April 1986, selepas bahan radioaktifnya dilepaskan ke udara dalam satu letupan kuat.

Sekurang-kurangnya 32 maut akibat kesan secara langsung letupan dan 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif.

Lebih 120,000 yang lain terpaksa dipindahkan, sementara tahap pencemaran radiasi turut diukur sejauh barat Eropah.

Semalam, beribu-ribu penduduk di bandar sama dipindahkan berikutan letupan dan kebocoran yang berlaku di pusat reaktor No.1 di Fukushima, kira-kira 240 kilometer di utara Tokyo.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

3,200 Korban Termasuk Mangsa Hilang di Jepun

14/03/2011 2:48am


TOKYO 14 Mac - Jumlah korban akibat tsunami yang melanda Jepun Jumaat lalu meningkat kepada lebih 3,200 orang, menurut agensi polis kebangsaan.

Jumlah itu termasuk mangsa yang masih hilang, pihak berkuasa tempatan menganggarkan jumlah tersebut akan meningkat dari masa ke semasa.

Pihak berkuasa ketika ini telah mengenalpasti sebanyak 1,597 mangsa, 1,481 secara rasminya masih hilang, angka tersebut tidak termasuk 200 hingga 300 mangsa yang telah ditemui di pantai Miyagi. - Dpa

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm