Loading

Thursday, December 16, 2010

'Saya tidak mahu Islam di Malaysia rosak'

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Ahli politik yang menjadikan fahaman pluralisme agama sebagai senjata untuk menarik sokongan bukan Islam telah melakukan satu kesalahan yang amat besar kerana ia boleh merosakkan akidah.



Malah tindakan mereka itu jika dibiarkan boleh menyebabkan kedudukan Islam di negara ini terjejas kerana akidah yang selama ini menjadi tunjang serta asas kepada agama telah dimusnahkan.



Sehubungan itu, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad mahu rakyat menolak kepimpinan ahli-ahli politik seperti itu agar kesucian Islam di negara ini terus terpelihara.



"Saya bercakap bukan atas dasar sentimen tetapi atas dasar seorang Islam yang terlalu sayangkan agamanya. Saya tidak mahu Islam di Malaysia rosak akibat wujudnya pemimpin-pemimpin yang seperti ini.



"Tidak salah untuk menarik pengundi bukan Islam untuk menyokong mana-mana parti tetapi bukan ini caranya. Cara ini amat bahaya kerana ia amat berkaitan dengan persoalan akidah. Fahaman pluralisme agama boleh merosakkan akidah,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Beliau mengulas kenyataan tokoh cendekiawan Islam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady bahawa golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti mana diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka berfahaman pluralisme agama ala John Hick.



Justeru Muhammad Uthman mahu golongan tersebut ditentang kerana fahaman yang mereka anuti bertentangan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.



Mengulas lanjut Nakhaie yang juga bekas pemimpin politik berkata, dalam kerakusan untuk mencari kuasa, beliau tidak hairan sekiranya terdapat seseorang pemimpin yang sanggup lakukan apa sahaja asalkan matlamatnya tercapai, termasuk sehingga peringkat menggadaikan agama.



"Saya amat berharap umat Islam sedar tentang kepincangan yang berlaku ini. Jangan beri ruang kepada ahli-ahli politik yang seumpama ini menjadi pemimpin kita. Islam di Malaysia kelak akan hancur.



"Menjadi kewajipan ke atas semua umat Islam menolak pemimpin yang berpegang kepada konsep 'matlamat menghalalkan cara.' Ini tidak betul kerana Islam tertakluk kepada hukum-hakam serta syariat yang telah ditetapkan seperti mana termaktub di dalam al-Quran, al-Hadis dan sumber-sumber hukum lain,'' katanya lagi.



Ketika ditanya mengenai kecenderungan Pas menjalinkan hubungan dengan ahli politik seperti itu, Nakhaie berkata, parti itu bukan dipimpin oleh orang agama sebaliknya orang politik.



"Bila disebut orang politik ia bermakna mereka tetap bermain dalam permainan yang serupa, sama seperti rakan-rakan sekutu politik mereka. Matlamat mereka hanya pengaruh dan kuasa.



"Oleh itu, tidak hairanlah fatwa mereka boleh berubah-ubah. Dahulu mereka kata haram berkawan dengan orang kafir tetapi bila kena pada Pas, mereka bolehkan pula,'' katanya lagi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm

No comments:

Post a Comment