Muharam selain sebagai permulaan kalendar Islam, tarikh 10 Muharam diingati sebagai sebuah sejarah kelam dalam pertembungan dua kelompok utama dalam Islam. Kelompok pertama yang dikenali sebagai Syiah dan kelompok kedua ialah yang menggelarkan diri mereka sebagai Sunni.
Kelompok pertama menjadikan Hussein bin Ali bin Abi Talib sebagai pemimpin mereka setelah Muawiyah mengambil alih kekuasaan khalifah Islam terakhir pada tahun 661M.
Setelah Muawiyah mengambil alih tampuk kekuasaan, kelompok Syiah melantik Hussein bin Ali sebagai ketua mereka berdasarkan kedekatan beliau dengan Rasullullah SAW. Muawiyah mengisitiharkan dirinya sebagai khalifah baru dan seterusnya mengasaskan Dinasti Umaiyah.
Apabila Muawiyah mati pada tahun 680M, berlaku satu pertempuran di antara pengikut Syiah dan pengikut Muawiyah.
Pengikut Syiah memberontak untuk menuntut kembali jawatan Khalifah kerana menganggap rampasan yang dilakukan oleh Muawiyah adalah tidak sah dan perlu dikembalikan kepada pewaris terdekat Rasullullah SAW iaitu Saidina Hussein bin Ali bin Abi Talib.
Selain mengingatkan sebagai Hari 'Asyura', 10 Muharam, umat Islam juga digalakkan berpuasa dalam sejarah Islam. Pada tarikh 10 Muharam, berdasarkan catatan Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Mukasyayafultul Qulub bahawa terdapat sebanyak 13 lagi peristiwa besar dalam Islam dalam tahun-tahun yang berbeza.
Pada malam 10 Muharam, Nabi Adam a.s. diciptakan, kelahiran Nabi Ibrahim a.s., diciptakan seluruh cakerawala (langit bumi, bulan dan bintang), hari terselamatnya Nabi Ibrahim a.s daripada bahang panas unggun api Raja Namrud, hari kelahiran Nabi Isa a.s., hari kemenangan Nabi Musa a.s memusnah kekuatan rejim Firaun, Nabi Isa a.s diangkatkan ke langit, Nabi Idris a.s diberikan kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT, Nabi Nuh a.s terselamat dari gelora badai taufan, Nabi Sulaiman a.s mendapat mukjizat luar biasa, Nabi Yunus a.s keluar dengan selamat dari perut ikan nun, Nabi Yaakub a.s. yang buta dapat melihat, Nabi Yusuf a.s. bebas dari penjara, Nabi Ayub a.s. sembuh dari penyakit merbahaya dan hari pertama diturunkan hujan.
Peristiwa-peristiwa penting 10 Muharam itu mengandungi aspek-aspek perjuangan yang menaikkan semangat kepimpinan dan kepahlawanan. Ia mengandungi nilai-nilai pendidikan dan memiliki pengaruh kejiwaan dalam kehidupan seseorang atau sesuatu bangsa.
Tujuan kita mengingat pelbagai peristiwa penting dalam bulan Muharam ini sebenarnya untuk memahami secara lebih berhemah perjuangan dan keikhlasan perjuangan para Nabi menegakkan agama Islam.
Para Nabi dan Rasul sentiasa mencari jalan untuk mengendalikan urusan berhubung sesama manusia dan bermasyarakat secara adil dan menghapuskan puak kuffar.
Peristiwa 10 Muharam diingati sebagai hari berkabung bagi kelompok Syiah atas terbunuhnya Saidina Hussein di Karbala. Pada hari perkabungan itu, kelompok Syiah akan memasak dua jenis bubur dalam bekas yang berlainan.
Sebuah bekas mengandungi bubur berwarna merah, mewakili simbol darah Saidina Hussein yang menjadi korban nafsu Yazid. Sebuah bekas lagi yang berisi bubur berwarna putih, melambangkan kesanggupan saudara Saidina Hussein, iaitu Saidina Hassan menerima rundingan damai dengan kelompok bani Umaiyah yang membunuh saudaranya.
Asyura bagi sesetengah orang dianggap sebagai sebuah hakikat penentangan kepada pemerintah.
Bagi Al-Hajjaj Yusuf Al-Thaqafi, seorang panglima perang Bani Umaiyah, asyura dianggap sebagai perayaan di atas kemenangan menegakkan sebuah dinasti Umaiyah, sebagai hari kesyukuran.
Hakikatnya, asyura hanya layak dirayakan oleh ummah yang mementingkan perpaduan dan ia tidak layak untuk dirayakan oleh puak yang suka memecah-belahkan perpaduan kerana kekuasaan itulah yang benar (might is right), yang salah tentu sahaja yang kalah. Inilah keamanan dan keharmonian yang dicapai oleh masyarakat Islam negara ini hasil daripada perpaduan dan permuafakatan.
Seharusnya juga pada bulan ini kita dapat mengingatkan kembali beberapa peristiwa yang telah menimpa umat Islam seluruh dunia, termasuk di Iraq. Palestin dan Afghanistan.
Peristiwa pembunuhan beramai-ramai umat Islam Palestin di Sabra dan Shatila pada 1982 oleh Zionisme Yahudi berulang kembali kini, dan mengingatkan kita betapa kuatnya kebencian mereka ke atas Islam.
Umat Muhammad SAW dianggap sebagai musuh abadi, musuh yang wajib dihapuskan. Selagi umat Islam wujud, selagi itulah keamanan dan tatanan baru dunia tidak akan dapat dicorakkan.
Persoalan yang sedang berkisar mengenai Palestin misalnya, tidak sedikit pun memberikan geruh kepada Israel. Pelindung utamanya, Amerika Syarikat telah mengakui, usaha memujuk Israel untuk kembali ke meja rundingan telah gagal.
Israel masih terus berdegil untuk membina perumahan haram Yahudi di atas tanah yang dirampas daripada penduduk Palestin, kerana itulah strategi Israel, semakin lama berperang maka semakin banyak harta rampasan yang bakal mereka peroleh.
Semakin Islam dibenci dan kecam, maka semakin membesar jumlah yang memeluk Islam. Umat Islam kini menjadi jumlah penganut yang kedua terbesar selepas Kristian, namun kekuatan Islam masih lemah, kerana tiada penyatuan antara mereka.
Dengan peristiwa dan tindak-tanduk yang berlaku sejak akhir-akhir ini telah memberikan semangat baru kepada negara Islam untuk bersatu dan menegakkan kembali kegemilangan Islam.
Petunjuk sudah jelas membuktikan, sistem Islam semakin diterima, termasuk pasaran produk halal dan sistem kewangan serta perbankan Islam.
Ini seharusnya diperhebatkan oleh tokoh Islam. Pakar-pakar yang ada perlu mengkaji dan meneliti aliran dan perkembangan ini untuk membolehkan Islam muncul kembali sebagai sebuah peradaban yang bermoral, adil dan mensejahterakan semua manusia.
Sesungguhnya, ini adalah perjuangan besar yang perlu dilaksanakan oleh seluruh umat Islam jika tidak mahu diperkotak-katikkan sekali lagi.
Peluang sudah terbuka luas, rintisannya sudah berjalan, kini bergantung kepada kesungguhan umat Islam sendiri untuk meneruskan perjalanan panjang dengan mengambil semangat peristiwa 10 Muharam sebagai panduan.
Jelas di sini bahawa cara yang ditetapkan oleh sunnah ialah merayakan atau membesarkan Hari Asyura dengan berpuasa dan melakukan perkara-perkara kebaikan atau amalan bersifat sosial yang diredai Allah.
Kita semua tahu bahawa ibadat puasa pada hari besar tersebut merupakan perayaan kaum Yahudi untuk mengingati peristiwa bersejarah kemenangan Nabi mereka (Musa a.s) daripada kepungan dan serangan Firaun.
Dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Kami lebih berhak dengan Musa daripada kamu. Oleh itu kami juga ingin merayakan hari bersejarah tersebut dengan melakukan ibadat puasa pada hari itu, lalu diperintahkan umat Islam berpuasa." (Riwayat Bukhari)
Amalan ini (berpuasa) dianjurkan untuk diteruskan, di samping merayakan hari bersejarah ini dengan mengadakan jamuan sejenis makanan (bubur) yang terdiri dari bahan yang mudah diperoleh dan disediakan yang dilakukan secara bergotong-royong dalam usaha merapatkan lagi hubungan kemesraan dan kasih sayang dalam masyarakat.
Kerja gotong-royong seperti ini patut diteruskan sekalipun ada tuduhan yang mengatakannya bidaah. Walhal usaha begini boleh dinilai sebagai budaya makruf (bidaah hasanah) sebagai mana pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jangan kamu mempersendakan perkara makruf sedikit pun." (Riwayat Muslim)
Daripada peristiwa sejarah Rasulullah SAW itu jelas menunjukan simpati dan mensyukuri akan kemenangan Musa a.s. Ini kerana umat Islam dengan umat Islam yang lain itu adalah seperti sebatang tubuh, di mana jika salah satu anggota yang mengalami kesakitan, maka seluruh anggota lain ikut mengalami kesakitan yang sama.
Demikianlah juga nasib penderitaan yang dialami umat Palestin hari ini. Seluruh dunia Islam dan saudaranya yang beragama Islam akan mengadu kesakitan dan penderitaan yang sama.
Mereka akan mengadu dan berdoa kepada Tuhan, mudah-mudahan diselamatkan umat Islam di Palestin daripada keganasan Zionis yang sedang bermaharajalela sekarang.
Daripada perasaan simpati tersebut, yang ditiupkan hari ini melalui pelbagai ibadat yang dianjurkan itu, akan lahirlah kesedaran dan kerjasama untuk membina ikatan ukhuwah di kalangan umat Islam sejagat dengan perasaan kasih mesra, sebagaimana yang dianjurkan Allah SWT menerusi firman-Nya bermaksud: "Bertolonganlah atas kerja kebajikan dan ketakwaan dan jangan sekali-kali bertolongan atas usaha dosa dan perseteruan (dan perpecahan)." (al- Maidah: 2)
Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment