Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
20 Mei 2010 / 6 Jamadil Akhir 1431
pengarang@utusan.com.my
BANGUNAN Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin pada tahun 1958.
--------------------------------------------------------------------------------
Tulisan ini dirasakan terlalu kecil untuk dibandingkan dengan keberanian anak -anak Utusan Melayu sejak tujuh dekad lalu. Sebaliknya keberanian itu yang mendorong tulisan yang didedikasikan kepada pejuang- pejuang yang pernah bernaung di bawah payung Utusan Melayu.
Sejak hari pertama 29 Mei 1939 hingga tujuh dekad seterusnya, Utusan Melayu tidak pernah dimamah usia. Malah lebih garang tetapi waras serta menolak sebarang bentuk ekstremisme kaum dan juga agama.
Pada 29 Mei ini genaplah 71 tahun usia Utusan Melayu. Sepanjang usia itu tanpa sedetik pun Utusan Melayu berhenti daripada menyedarkan bangsanya yang terlena selepas merdeka.
Sejarah perjuangan kemerdekaan yang diledakkan oleh anak-anak Utusan Melayu yang berani tidak ada siapa yang mampu memadamkan sejarah mereka.
Utusan Melayu ini biarpun jarang disebut apabila memperkatakan sejarah negara tetapi wadah perjuangan yang dilahirkan dengan darah dan air mata ini tetap tiada duanya.
Utusan Melayu bukanlah sebuah organisasi memburu kekayaan dan dilahirkan atas dulang emas. Utusan Melayu dilahir dengan air mata kemudian dibangunkan dengan keinsafan.
Kerana itu perjuangan untuk bangsa dan negara yang menjadi teras Utusan Melayu tidak pernah berubah sejak dulu hingga kini dan selamanya.
Utusan Melayu bermula di 185, Cecil Street Singapura tetapi kemudiannya memindahkan operasi penerbitan akhbar di bangunan dua tingkat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala lumpur.
Semasa di Singapura, Utusan Melayu berdepan dengan kerenah penjajah yang jahat. Semuanya kerana pejuang-pejuang Utusan Melayu berjaya menghalang gagasan penubuhan Malayan Union dan suaranya semakin garang.
Di Kuala Lumpur pula politik selepas merdeka bertukar warna dengan ada tangan-tangan UMNO mengganggu-gugat kebebasan Utusan Melayu yang kritis terhadap pemimpin UMNO.
Antara idealisme dan realiti, ada anak-anak Utusan Melayu di persimpangan dan akhirnya mereka menunjukkan pilihan. Mereka mogok.
Mogok Utusan Melayu tahun 1961 meletakkan Utusan Melayu dalam realiti baru. Sebelum merdeka mereka dalam Utusan Melayu yang menggadai nyawa dan usia dianggap pejuang.
Selepas merdeka tahun 1957, yang berhaluan kiri dianggap pertualang dan kelantangan Utusan Melayu mengkritik akhirnya kepimpinan bertukar tangan. Yang lantang terbuang tetapi mereka terus terbilang.
Bagaimanapun peristiwa mogok Utusan Melayu tidak pernah kembirikan keberanian untuk memperjuangkan nasib bangsa.
Membaca sejarah Utusan Melayu adalah menyelak sejarah jatuh bangun bangsa; ketika teruk ditindas penjajah dan juga oleh orang sebangsa.
Banyak lagi organisasi media yang lebih besar fizikalnya tetapi Utusan Melayu tetap tersendiri. Perjuangannya tidak pernah sudah apa lagi dalam kemelut politik berbaur perkauman.
Tanpa teragak-agak Utusan Melayu bangun mengatakan pendirian.
Kini selepas tujuh dekad usianya, Utusan Melayu sekalipun bukan organisasi media yang kaya raya tetapi tidak lupa tanggungjawab kepada bangsa.
Anak-anak Utusan Melayu sejak dulu hingga kini memilih untuk berbakti. Dalam sekian banyak kekangan, Utusan Melayu tidak pernah hilang keberanian untuk mengatakan kebenaran.
Seperti kata Sasterawan Negara Datuk Usman Awang dalam puisinya, Utusan Melayu,
"Utusan Melayu
ketika tanah air menjadi bisu
engkaulah penyambung lidah bangsaku
orang-orang yang takutkan kata merdeka
engkau jeritkan selantang suara."
Walaupun tidak kaya seperti yang lain, Utusan Melayu terus berguna kepada bangsanya. Utusan Melayu tidak jatuh martabatnya sekalipun hidup sederhana.
Sepanjang tujuh dekad ini juga Utusan Melayu menjadi "universiti" kepada banyak tokoh yang pernah mendapat asuhan di Utusan Melayu. Biarpun berjaya sebagai tokoh politik yang kanan atau kiri tetapi asuhan Utusan Melayu telah menjadikan mereka orang yang disegani.
Ini sama dengan sejarah awal Utusan Melayu yang didokong oleh pejuang-pejuang yang dilabelkan kiri oleh penjajah seperti A. Samad Ismail, Ishak Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam, Said Zahari dan banyak lagi.
Anak-anak Utusan Melayu tidak pernah bertelingkah kerana perbezaan ideologi politik, baik yang kanan mahupun yang kiri.
Tokoh seperti bekas Presiden Singapura Yusof Ishak adalah pengasas Utusan Melayu yang mengalir air mata kerana terharu dengan sokongan orang Melayu hingga edisi pertama 29 Mei 1939 dapat dihasilkan.
Tokoh-tokoh lain juga tidak kurang hebatnya, antaranya A. Samad Ismail pengasas PAP bersama Lee Kwan Yew, Aziz Ishak (bekas Menteri Pertanian), Zainuddin Maidin (Bekas Menteri Penerangan), Khalid Yunus (bekas Timbalan Menteri Penerangan), Suleiman Mohamad (bekas Timbalan Menteri Penerangan), Mazlan Nordin (Tokoh Wartawan Negara), Ikhwan Nasir, Rosedin Yaacob, Adam Hamid, Subky Latiff dan banyak lagi.
Selain tokoh politik, Utusan Melayu juga melahirkan tokoh dalam kesusasteraan antaranya Sasterawan Negara Usman Awang, Sasterawan Negara Keris Mas dan Sasterawan Negara A. Samad Said.
Bangunan dua tingkat di Jalan Chan Sow Lin ini menyimpan banyak sejarahnya. Walaupun bukan pencakar langit, ibu pejabat Utusan Melayu menaungi pendokong-pendokong yang memilih untuk menyumbang bakti kepada bangsa. Mereka terus di sini sekalipun di luar sana lebih banyak peluang untuk menjadi kaya.
Di sebalik bangunan ini faktor yang memanjangkan hayat Utusan Melayu sebagai suara keramat bangsa adalah semua pendukung-pendukung Utusan Melayu yang komited dengan tanggungjawab.
Tanpa pendukung yang menghayati sejarah jatuh bangun Utusan Melayu, tentunya Utusan Melayu tidak mampu menjadi suara keramat kepada bangsanya.
Bangunan ini juga dikunjungi oleh semua Perdana Menteri; Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan hari ini oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Hari ini juga Najib mencatatkan satu lagi sejarah Utusan Melayu pada majlis pecah tanah projek bangunan ibu pejabat Utusan Melayu yang baru.
Di sebalik bangunan tinggi ini Utusan Melayu tetap memerlukan pendukung-pendukung yang menghayati sejarah institusi bangsa ini.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment