Utusan Online: 26 Mei 2010 / 12 Jamadil Akhir 1431
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
KENYATAAN Ketua Pemuda MIC, T. Mohan bahawa MIC tidak teragak-agak mengkaji keanggotaannya dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terbabit dengan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) seolah-olah mahu mengalih isu yang dihadapi parti itu.
Ia terlalu melampau apabila dengan mudah mahu mengaitkan UMNO ketika Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bergelut dengan masalah parti.
Janganlah sampai ‘penyakit’ dalam MIC itu cuba dijangkitkan pula ke parti-parti komponen lain dalam BN.
Penggunaan sindrom penafian dengan menuding jari ke arah orang lain untuk menutup masalah MIC adalah mengarut. Ia tidak akan menyelesaikan masalah tetapi berkemungkinan besar akan memburukkan lagi keadaan.
Kenyataan Mohan dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, S. Vell Paari (anak Samy Vellu) yang menyalahkan UMNO berhubung kekalutan MIC umpama tidak berpijak di bumi nyata. Tidak pandai menari disalahkan pula lantai yang kononnya tidak rata.
Nada kedua-dua pemimpin muda MIC itu pula seolah-olah nada pembangkang. Samy Vellu seolah-olah sudah hilang cengkaman selaku Presiden MIC.
Kepada Mohan dan Vell Paari serta pemimpin lain MIC jika berkongsi pandangan dengan kedua-duanya, Awang nasihatkan cerminlah diri terlebih dahulu sebelum mahu menyalahkan orang lain.
Awang – Tak tumbuh tak melata.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment