Loading

Monday, September 12, 2011

Datang ke JKM jika hadapi masalah

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta mereka yang menghadapi masalah kewangan dan tidak mendapat pembelaan, agar datang terus ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, kementeriannya melalui jabatan itu membelanjakan RM1.2 bilion setahun bagi membantu kira-kira 450,000 orang setiap tahun.

Menurutnya, tidak timbul isu bantuan diberikan kerajaan tidak mencukupi memandangkan terdapat banyak agensi termasuk orang perseorangan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kementerian lain yang turut memberikan bantuan.

“Tidak ada negara di dunia ini atau kerajaan boleh membantu setiap rakyatnya dalam segala situasi. Kita bukan negara kebajikan, tetapi kita prihatin.

“Kalau ada keluarga atau mana-mana rakyat yang betul-betul tidak ada pembelaan, tidak ada duit datang ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat. Itu saja yang kita perlu,” katanya selepas menghadiri Acara Detik 30-Jam Berlapar 2011 di sini, semalam.

Shahrizat berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar bahawa ada NGO berselindung atas nama kebajikan, aktif membantu warga miskin dan ibu tunggal Islam, sebelum memesongkan akidah mereka.

Bantuan terbabit meliputi wang tunai, tempat tinggal, makan minum percuma, wang pendidikan dan saraan kos ketika sakit.

Terdahulu, Shahrizat menyertai lebih 9,000 rakyat Malaysia yang bersemangat dan mendermakan RM50,000 bagi pihak kementeriannya pada acara Detik 30-Jam Berlapar 2011 untuk menghabiskan empat jam terakhir mereka berlapar di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, semalam.

Acara detik itu dengan tema ‘Krisis Kesihatan Kanak-kanak’ bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu kanak-kanak dan masyarakat yang memerlukan serta mencari dana untuk golongan ini.

Lebih 18,000 rakyat Malaysia menyertai acara itu tanpa mengambil makanan pejal yang bermula tengah hari kelmarin di mana kira-kira RM1.5 dipungut akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan di dalam dan luar negara di Afrika, India, Indonesia, Jepun, Laos, Myanmar, Malaysia, Korea Utara dan Thailand.

Acara itu dianjurkan bersama World Vision Malaysia, akhbar Sin Chew dan Help University College. - Bernama

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story9410890.asp

No comments:

Post a Comment