Loading

Sunday, March 7, 2010

Bancak

Bancak adalah abang sulungku daripada 10 adik beradik. Sebelum ini 4 daripada adik beradik aku telah meninggal dunia semasa kecil.Aku dan Bancak sering mempunyai pandangan yang berlainan dalam beberapa perkara, tetapi aku sering beralah dan lebih mendiamkan diri.

Bagiku, cara beliau menguruskan kehidupan beliau agak melalui liku-liku yang mencabar, tetapi beliau mungkin puas dengan cara beliau yang tersendiri.Oleh kerana aku mula sibuk menguruskan kehidupan aku sendiri, aku jarang mengikuti sangat perkembangan kehidupan beliau.Akupun sejak akhir-akhir ini amat jarang bertemu beliau memandangkan bancak sering tidak pulang ke kampung pada hari raya atau perayaan yang lain atas alasan tersendiri.

Namun pada 2 Mac 2010 lalu, menjelang hampir tengah malam aku dikejutkan dengan panggilan yang memberi tahu bahawa beliau telah mengalami kemalangan di Seramban disimbah asid ketika dirompak semasa memandu teksi dari Kuala Lumpur ke Seremban.Pada hari berikutnya aku menghubungi ibuku yang kebetulan berada di hospital berkenaan dan aku dimaklumkan beliau berada dalam keadaan stabil dan mampu bersembang dengan sesiapa yang mengunjungi beliau. Maka dengan itu aku bercadang untuk mengunjungi beliau hari Sabtu nanti kerana disebankan kesibukan aku di pejabat dengan pelbagai hal dan menjelang pelancaran Projek Jalur Lebar Nasional(High Speed Broadband-HSBB) pada 24 Mac nanti, di mana aku juga terlibat secara tidak langsung dalam beberapa hal.

Namun begitu, hatiku amat terkilan bila diberitahu hari berikutnya bahawa Bancak telah tidak sedarkan diri selepas pembedahan. Ya Allah, hanya Allah jua yang tahu perasaan aku. Aku tak terfikir apa kena mengena terkena asid di badan dengan ketidakstabilan pengaliran oksigen ke dalam otak.Aku diberitahu, kemungkinan Bancak tidak akan sedar lagi.

Sedih menyelubungi hati aku. Walaupun aku sering tidak bersetuju dengan Bancak, dan walaupun Bancak banyak mengguris hati aku, disuduk hati aku, dia tetap abang sulungku. Aku lebih suka mendiamkan diri bila Bancak sering bertekak dan berselisih faham diantara adik beradikku yang lain.Ini kerana, aku sering memujuk diri aku, sebagaimana diapun, dia telah ditakdirkan sedarah dengan aku.Namun berlainan, dengan adik beradik aku yang lain yang sering membalas, tetapi mereka bagiku masih suka malayan juga karenah dan permintaan beliau berbanding aku.

Airmataku mengalir, bila melihat Bancak masih tidur terlantar dikatil wad ICU di Hospital Seremban. Aku tak sangka, Bancak menghadapi dugaan lebih hebat dari aku. Sebelum ini aku pernah beberapa kali menghadapi situasi kritikal di hospital akibat denggi. Kritikal pertama sewaktu aku di Pusat Perubatan Kampung Baru,demam denggi aku amat susah nak surut, tiba-tiba datang Bancak secara tiba-tiba membawa 2 botol susu kambing . Kali pertama aku meneguk susu kambing, aku terus berselera meminum atau menghabiskan sebotol dan botol seterusnya. Selepas itu selera aku terus datang untuk menjamah makanan yang lain.

Kali kedua aku berada di ICU Hospital Pantai Bangsar,pada Jun 2007 disebabkan denggi berdarah.Pada masa tu aku juga berada dalam keadaan tenat. Namun kali ini akak aku "A" dan adik aku "Caun" membawakan susu kambing. Namun , atas petua tambahan daripada rakan-rakan dan sedara mara yang lain "sup ketam" pula kali ini menaikkan selera makan kembali.Namun seingat aku, Bancak ada juga melawat aku, tetapi aku rasa mamai dan kurang mengenali orang sangat yang datang.

Selain daripada itu, aku sering masuk ke hospital akibat beberapa penyakit lain seperti Batu Karang dan Demam yag disebabkan jangkitan kuman.

Berdasarkan peristiwa yang aku alami, dan mengetahui Bancak jarang masuk hospital,aku masih rasa tak percaya yang beliau dalam keadaan sebegini.Aku amat sedih dan aku berpesan pada Ibu dan adik beradik yang lain, agar memaafkan apa jua tindak laku Bancak yang menyebabkan terkilan di hati, agar ianya dapat menghapuskan dugaan yang dihadapi Bancak. Aku juga berpesan agar sedara mara yang melawat agar memaafkan beliau dalam hal yang sama. Ini juga melibatkan juga bagi insan-insan yang pernah beliau sayangi....

....bersambung....

2 comments:

  1. Kini dah hampir sebulan berlalu. Bancak telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bermula minggu lepas.Aku kesiankan Emak. Aku faham perasaan perasaannya. Namun , selain daripada ikhtiar dengan kepakaran Dr,kami hanya mampu sujud kepada Yang Maha Esa.

    ReplyDelete
  2. Dengan sedihnya pada tanggal 3 Rejab 1431 bersamaan 16 Jun 2010, Bancak aku (Ahmad Zaini Bin Hassan), telah menghembuskan nafas terakhir beliau dengan aman , jam 4.40 petang di hadapan adik yang paling rapat dengan beliau, saudara kami kedua yang juga kakak kami yang dikenali sebagai A(Noor Hajiah Binti Hassan)di kediaman kawasan desa hijau yang aman di Lembah Kelang beralamat di JH 296, Jalan Kampung Jawa, Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) 52100 Kepong, Kuala Lumpur Selangor. Ianya berlaku setelah lebih kurang 1 minggu setelah Bancak dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh.Beliau pergi dengan aman damai sedamai kawasan Hutan Simpan FRIM.

    Jenazah Bancak selamat dimandikan dan dikapan serta disembahyangkan di Masjid Jamek, FRIM bermula pada jam 9.00 pagi hari berikutnya. Beliau disemadikan di lot D932 Tanah Perkuburan Taman Ehsan Kepong.Rasanya tak jauh dari jenazah Allayarham Din Beramboi disemadikan.Alhamdulillah, segala urusan pengebumian berjalan dengan lancar dan mudah. Dari awal sejak beliau menghembuskan nafas terakhir pada petang 3 Rejab, tak putus-putus sahabat-sahabat , sanak saudara serta rakan taulan datang menziarah sehinggalah jenazah disemadikan. Meninggalkan 2 orang balu dan 3 orang anak(1 perempuan dan 2 lelaki), beliau pergi dengan tenang setelah lebih dari 3.5 bulan koma.

    Sesungguhnya mungkin benarlah petanda yang diberitahu oleh Kakak Iparku pada minggu lepas yang mana dua ekor rama-rama putih sering beredar dekat beliau.Hatiku berdetik ketika itu .....(biarlah aku simpan).

    Bagi pihak Waris, aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak FRIM kepong yang membenarkan kakak iparku(kakitangan FRIM) bersama abangku berteduh sementara di kuarters yang aman dan penuh suasana hijau di sana, yang mana abangku memerlukan kediaman di bawah.Terima kasih juga tidak terhingga kepada Tok Imam FRIM dan rakan-rakan di FRIM yang menguruskan jenazah secara teratur dan lancar serta dengan sukarela mengadakan siri bacaan yasin dan tahlil.Bagiku , ini antara salah satu daripada urusan jenazah yang terbaik yang pernah aku lihat.Kepada yang menziarahi, kami mengucapkan ribuan terima kasih atas ziarah dan doa kalian semua. Moga Allah merahmati kalian semua di dunia dan akhirat. Jasa dan budi tuan -tuan semua tidak boleh dinilai dengan wang ringgit dan tidak boleh dijual beli.

    Sekiranya ada salah dan silap Bancak selama ini , terambil, termakan dan terminum, tingkah laku yang menyakitkan hati DAN Jika apa apa-apa yang perlukan perbincangan berkaitan dengan Allayarham semasa beliau hidup, sila berhubung dengan pihak kami.

    "Ya Allah", terimalah dia hambamu(Bancak) dengan penuh kerahmatan Mu yang Maha Agung. Tempatkanlah dia bersama orang-orang yang dikasihiMu"

    "Sesungguhnya setiap yang bernyawa akan merasai mati". Ameen..

    ReplyDelete